Saturday, June 26, 2010

Untuk Renungan : Kisah Dalam Bulan Rejab

Di Baitulmaqdis ada seorang perempuan tua yang sangat rajin beribadat. Apabila tiba bulan Rejab dia akan membaca surah Al - Ikhlas sebanyak 12 kali setiap hari sebagai memberi penghormatan kepada keistimewaannya bulan tersebut. Di bulan ini juga dia meninggalkan segala pakaiannya yang mewah-mewah dan menggantikan dengan pakaian biasa.

Perempuan ini juga mempunyai seorang anak lelaki. Inilah sahaja anaknya yang masih ada. Anaknya yang lain telah pergi merantau jauh kenegeri orang. Segala kerja-kerja dirumah dan menjaga perempuan ini dilakukan oleh anak lelakinya sendiri. Itulah sebabnya perempuan itu sangat sayang pada anaknya itu.

Setelah beberapa lama dia beribadah, tiba-tiba pada suatu hari dia telah jatuh sakit. Penyakitnya itu sangat sukar untuk diubati. Kebetulan pada waktu itu tepat pada bulan Rejab. Oleh itu kerana terasa dirinya sudah hampir nazak dia telah berwasiat kepada anaknya.

"Anakku sekiranya aku mati nanti, kapankanlah mayat aku dengan kain biasa yang murah harganya."

Setelah sekian lama dia sakit, akhirnya dia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Setelah meninggal dunia, anak lelakinya menguruskan pengkebumian ibunya itu. Oleh kerana tidak mahu menjatuhkan maruah keluarga dia sengaja lupa kepada pesanan ibunya tempoh hari. Kemudian mayat ibunya pun dikapankanlah dengan kain yang mahal.

Setelah dikebumikan, anak lelakinya terus pulang kerumahnya.

Pada malam itu, dia telah bermimpi bertemu dengan ibunya. Ibunya berkata kepadanya dalam mimpi itu : "Anakku! mengapa kau tidak melaksanakan segala wasiat ku dulu? Aku tidak rela diriku dikapankan denga pakaian yang mahal ini. Adakah kau masih mahu mendapat pujian orang?"

Habis saja ibunya berkata, dia terkejut dari mimpinya dan berasa ketakutan. Dia juga sangat menyesal kerana tidak membuat sepertimana wasiat ibunya dahulu.

Keesokan harinya selepas solat subuh dia bergegas ke kubur ibunya. Kubur itu masih merah tanahnya. Dengan menggunakan cangkul dia menggali kubur itu untuk menukarkan kain kapan ibunya dengan kain biasa yang murah harganya. Kain itu ada dibawa bersamanya. Namun sedalam manapun dia menggali, dia masih tidak dapat menjumpai mayat ibunya.

Akhirnya dia pulang kerumah dengan perasaan hampa. Segala peralatan yang mahu digunakan untuk mengkapankan ibunya dibawa pulang. Malam itu dia tidur, dan dia telah bermimpi mendengar suara yang berkata : "Orang muda! Tahukah engkau bahawa sesiapa yang mengagungkan bulan Rejab maka Allah tidak akan membiarkan dirinya bersendirian di dalam kubur."

Setelah tersedar dari mimpinya dia berasa sangat hairan. Walaupun begitu dia sangat gembira sekarang kerana ibunya sudah mendapat perhatian dari Allah swt kerana ibadahnya yang ikhlas dibulan Rejab. Dia pula sangat menyesal kerana pesanan ibunya dulu tidak dapat dilaksanakan. Mudah-mudahan ibunya berbahagia disana, doanya di dalam hati.

Selain dari puasa di dalam bulan Rejab, puasa pada 10 Dzulhijjah juga ada kelebihannya. Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa; Tiada hari yang lebih besar disisi Allah swt dan lebih disukai untuk orang beramal dalamnya melebihi dari 1-10 Dzulhijjah. Oleh itu, perbanyakkanlah olehmu bertakbir, tahmid dan tahlil. Mujahid dari Umar r.a.

Puasa pada hari Aasyuura (10 Muharram) juga sangat digalakkan. Dan banyak peristiwa-peristiwa yang terjadi dan kisah-kisahnya dalam bulan Muharram (10 Muharram).




semoga Rejab tahun ini menjadi pemangkin kepada perubahan diri kita, amin.


No comments: